Sunday 9 June 2013

Beli Padi Pada Harga Murah

Download Versi Penuh  Selagorkini Jun-1 : 

Petani Sekinchan protes Bernas

TANJONG KARANG - Petani di kawasan Sungai Burong dan Sekinchan tidak puas hati dan kecewa terhadap Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) kerana 
membeli padi di kawasan mereka dengan harga yang murah.

Petani terbabit mendakwa Bernas kini membeli padi daripada mereka dengan harga RM1,150 bagi satu tan metrik. Iaitu kurang RM130 daripada harga 1,280 satu tan yang ditawarkan kepada petani di Tanjong Karang. 

Pengurangan RM130 satu tan ini menyebabkan petani mengalami kerugian yang besar kerana mereka yang hanya bercucuk tanam dan menjual padi sebanyak dua kali setahun.
Penurunan RM130 itu kecil, tapi kalau 10 tan metrik? Mereka (petani) sudah hilang RM1,300, dan RM1,300 ini terlalu banyak yang boleh digunakan kepada petani - Sallehen Mukhyi, exco hal ehwal islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa
Seorang petani, Samsuddin Hussain, 62, mendakwa golongan petani dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menurunkan harga sewenang-wenangnya setelah petani bekerja keras menanam padi.
“Petani ini macam tidak diambil berat, macam dipermainkan, seolah-olah petani tak ada nilai diri sedangkan mereka adalah pengeluar makanan negara.

“Ini yang kami tak puas hati, dengan masalah harga padi yang diturunkan ini, kalau turunkan sama saja di semua kawasan, kita tak terasa sangat,” katanya.
Samsuddin ditemui bersama hampir 200 orang petani yang mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kilang Bernas Sekinchan di sini. Dianggarkan kawasan Sungai Burong, Sekinchan dan Sabak Bernam mempunyai seramai 5,000 petani yang terjejas dengan penurunan harga Bernas itu. 

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi dan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.Sementara itu, Sallehen yang juga Adun Sabak berkata, penurunan sebanyak RM130 bagi setiap tan metrik adalah sangat membebankan kerana menanam padi merupakan perniagaan utama bagi penduduk di Sekinchan sehingga ke Sabak Bernam.



“Penurunan RM130 itu kecil, tapi kalau 10 tan metrik? Mereka(petani) sudah hilang RM1,300, dan RM1,300 ini terlalu banyak yang boleh digunakan kepada petani.
“Bahkan RM1,300 ini melepasi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM 500 pada tahun lalu,” ujarnya.
Katanya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil pendekatan segera bagi menyelesaikan masalah ini sebelum musim menuai berakhir.

Dalam pada itu, seorang lagi petani, Samudin Abdullah, 47, melahirkan perasaan kecewa kerana setelah mengeluarkan kos yang besar bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi, tetapi harga pula diturunkan.

“Beza petani di negeri-negeri lain, kami petani di Selangor memang banyak mengeluarkan belanja untuk pertanian. Contoh, kadar sewa yang tinggi, kadar racun yang mahal, jadi apabila harga padi menurun, jadi kami sangat merasa kerugian,” katanya.




No comments:

Post a Comment