Tuesday 14 May 2013

Abdul Khalid dilantik MB Untuk Penggal Kedua

Download Versi Penuh  Selagorkini Mei-2 : 

Shah Alam - DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, 
memberi perkenan melantik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di Istana Alam Shah, Klang.


Abdul Khalid mengangkat sumpah dan membaca ikrar aku janji di Balai Rong Seri Istana tersebut di hadapan DYMM Sultan Selangor dengan dihadiri kerabat diraja dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.

Abdul Khalid yang menjadi Menteri Besar ke-14 Selangor turut memberitahu media selepas itu bahawa antara tumpuan pertamanya adalah menstruktur semula industri air Selangor.

Pada istiadat itu Abdul Khalid melafazkan 10 aku janji jawatan Menteri Besar untuk dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya. Aku janji itu termasuk menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara, memelihara dan melindungi kesucian serta keagungan agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan mematuhi kedaulatan Institusi Raja.

Beliau yang juga Adun Pelabuhan Klang itu turut berjanji untuk memelihara keistimewaan orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1959.

Istiadat itu turut disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta dihadiri isteri Abdul Khalid, Puan Sri Salbiah Tunut dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah tersebut, Abdul Khalid menjelaskan rancangannya untuk meneruskan usaha menstruktur semula industri air Selangor dengan mengambil alih operasi rawatan air daripada syarikat swasta. 

“Saya menyediakan surat kepada Perdana Menteri tentang perkara ini dan amat berharap beliau akan memberi tindak balas positif sejajar dengan Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA."
“Selangor memberi komitmen bahawa projek Langat 2 akan dirangkumkan bersama proses penstrukturan semula industri air supaya ia tidak dikendali secara berasingan,” 
Kata Abdul Khalid.

No comments:

Post a Comment